Ketika menelusuri kisah perjalanan sesebuah keluarga, perkara penting yang akan dilihat adalah merujuk kepada tokoh berpengaruh dan individu utama terkait dengannya.
Seringkali kita mendengar akan hubung kait antara Nabi Yaakob AS dan Bani Israil, persoalannya disini siapakah mereka ini? Apa kaitan keduanya?
Isi Kandungan
Nabi Yaakob AS, Bapa 12 Ras Keturunan Bani Israil
Kedua-dua perkataan ini, iaitu Yaakob dan Israil, boleh didapati pada beberapa tempat dalam kitab suci al-Quran al-Karem.
Dan dapatan dua perkataan ini merujuk kepada insan yang sama, iaitu Yaakob bin Ishak bin Ibrahim Al-Khalil, seorang Nabi yang juga berasal dari keturunan para Nabi AS.
Antara firman Allah SWT memperlihatkan perkataan Yaakob dan Israil,
وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (١٣٢) أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (١٣٣)
Terjemahan: Dan Nabi Ibrahim berwasiat dengan agama itu (Islam) kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir wafat, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.
Al-Baqarah: 132-133
أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأسْبَاطَ كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَى قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (١٤٠)
Terjemahan: “Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama para Nabi ini telah pun ada, sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.
Al-Baqarah: 140
أُولَئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا (٥٨)
Terjemahan: Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil (Nabi Yaakob) dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
Surah Maryam: 58
Butiran Peribadi
Melalui al-Quran al-Karem, Nabi Yaakob AS digambarkan sebagai seorang anak yang berbakti kepada bapanya, iaitu Nabi Ishak AS.
Selain itu, Nabi Yaakob AS adalah seorang ayah yang punya kebijaksanaan dan sangat dihormati oleh anak-anaknya.
Beliau adalah seorang Nabi dan Rasul yang dipilih Allah SWT, dianugerahkan dengan ilmu pengetahuan yang mendalam serta catatan amal kebaikan yang banyak.
Namun begitu, al-Quran al-Karem tidak mendatangkan maklumat secara komprehensif dan terperinci tentang butiran peribadi Nabi Yaakob AS.
Para sarjana Islam telah menyimpulkan bahawa kisah-kisah yang begitu terperinci dan tersangat lengkap, sebahagian besar naratif tersebut adalah bersumberkan Ahli Kitab.
Menurut Ibnu Jarir, disebutkan bahawa Nabi Ishaq bin Ibrahim al-Khalil AS telah berkahwin dengan wanita bernama Rifqa (Rebekah), iaitu anak kepada Thebeuel (Bethuel).
Perkahwinan tersebut berlaku semasa hayat bapanya, iaitu Nabi Ibrahim AS, dan ketika itu Nabi Ishaq AS usianya menjangkau 40-an.
Diceritakan juga bahawa, Rifqa mengalami kesukaran untuk hamil (mandul), mendorong Nabi Ishaq berdoa untuk isterinya kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat.
Permohonan doa tersebut telah diperkenankan Allah SWT dan Rifqa hamil. Pasangan tersebut dikurniakan anak kembar lelaki.
Anak sulung pasangan tersebut diberi nama Al-Aysa (Esau), dan dipercayai bahawa asal usul bangsa Rom berasal daripada anak pertama ini.
Adapun anak kedua ketika dilahirkan, keluar berpaut memegang tumit abangnya (آخِذٌ بِعَقِبِ أَخِيهِ), iaitu Al-Aysa, sehingga bayi ini mendapat nama Yaakob (يعقوب). Dikenali juga dengan nama Israil dan asal usul kaum Yahudi berasal daripada Nabi Yaakob AS dengan gelaran Bani Israil.
Perkahwinan
Menurut Ibnu Kathir, Nabi Yaakob AS telah berkelana ke bumi Haran untuk menemui saudara kandung ibunya bernama Laban, dan tinggal bersamanya beberapa ketika.
Nabi Yaakob AS mendapati bapa saudaranya mempunyai 2 anak perempuan, iaitu anak sulung bernama Leya (Leah) dan anak kedua bernama Rahil (Rachel).
Dia telah meminang anak kedua, iaitu Rahil, daripada bapa saudaranya, Laban dengan syarat untuk mengembala ternakan milik Laban selama 7 tahun.
Setelah berlalu masa yang ditetapkan, Laban mengatur sebuah majlis keraian besar, mengumpulkan sekalian para tetamu.
Selepas majlis sambutan keraian yang besar tersebut, semua orang telah keletihan dan dengan senyap-senyap Laban mendatangkan anak perempuan sulungnya, Leya, kepada Nabi Yaakob ketika di selubungi kegelapan malam.
Apabila bangun keesokan harinya, Nabi Yaakob AS sangat terkejut apabila mendapati Leya disebelahnya dan bukannya Rahil sehingga mendorong dia berbicara dengan kekecewaaan serta mempersoalkan tindakan bapa saudaranya, “Atas sebab apa kamu memanipulasi saya?” Saya telah berniat untuk mengahwini anakmu Rahil.”
Menurut Ibnu Kathir lagi, Nabi Yaakob AS bersetuju menambah bilangan masa selama 7 tahun lagi untuk mengembala ternakan milik Laban supaya dapat mengahwini wanita yang dikasihi, iaitu Rahil.
Amalan mengahwini dua beradik perempuan dalam satu-satu masa adalah dibenarkan dalam syariat ketika itu, dan kemudian amalan perkahwinan tersebut telah dilarang melalui kitab Taurat.
Perkahwinan ini menjadi salah satu bukti penting kewujudan konsep pemansuhan hukum (nasikh wa mansukh) dalam agama Samawi; contoh ditunjukkan melalui perkahwinan Nabi Yaakob AS bukan sahaja dibenarkan, bahkan perkahwinan itu adalah sah.
12 Orang Anak Dengan Gelaran al-Asbat (الأسباط)
Menurut Ibnu Kathir lagi, Laban telah memberikan kedua-dua anak perempuannya, iaitu Leya dan Rahil, setiap seorang dengan seorang hamba perempuan.
Hamba Leya bernama Zulfa (Zilpah) manakala hamba Rahil bernama Bilha (Bilhah).
Hasil perkahwinan Nabi Yaakob AS dan Leya telah dikurniakan anak bernama Rubil (Reuben), Sham’oun (Simeon), Lawi (Lewi), Yahuzda (Judah), Asakhar (Issachar) dan Zabelun (Zebulon).
Dari perkahwinan Nabi Yaakob dengan Rahil, dikurniakan anak bernama Yusuf (Joseph) dan Bunyamin (Benjamin).
Hasil hubungan Nabi Yaakob AS dan Bilha dikurniakan anak bernama Dan (Dan) dan Yaftali (Naphtali), manakala hasil hubungan Nabi Yaakob AS dan Zulfadikurniakan Jad (Gad) dan A’syir (Asher).
Nabi Yaakob AS juga dikurniakan seorang anak perempuan bernama Dina (Dinah) dari perkahwinannya bersama Leya.
Kesimpulan
Butiran terperinci peribadi Nabi Yaakob AS, perkahwinannya, bilangan isteri beliau dan nama-nama mereka, bilangan anak serta nama-nama mereka diperolehi dan diketahui melalui sumber Ahli Kitab.
Al-Quran Al-Karem hanya menyatakan secara umum peribadi Nabi Yaakob AS, dan bilangan anak lelakinya seramai 12 orang dengan sebutan al-Asbat (الأسباط).
Rujukan
- Al-Quran Al-Karim
- Abu al-Fida, Ibn Kathir. Al-Bidayah wa an-Nihayah. 1999. Dar al-Taibah.
- Abu al-Fida, Ibn Kathir. Tafsir Ibn Kathir. 1999. Dar al-Taibah.
- Abu Jaafar, Ibn Jarir at-Tabari. Sahih Tarikh at-Tabari. 2013. Dar Ibn Kathir.
- Abu Jaafar, Ibn Jarir at-Tabari. Tafsir at-Tabari. 2008. Dar Hijra.
- Su’ud bin Abd al-Aziz al-Khalaf. Dirasat al-Adyan al-Yahudiyyah wa an-Nasraniyyah. 2006. Dar Adh’wa as-Salaf.
- https://www.celiktafsir.net